CYBERJAYA, 2 JULAI 2021: Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC), agensi utama meneraju transformasi ekonomi digital negara menyambut baik pelancaran Dasar Revolusi Perindustrian Ke-4 (4IR) yang diumumkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), YB Dato’ Seri Mustapa Mohamed dan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Khairy Jamaluddin Abu Bakar, semalam.
“MDEC mengalu-alukan dasar penting ini yang akan membantu negara kita dalam perjalanan ke arah memanfaatkan teknologi 4IR. Di MDEC, kami telah melaksanakan pelbagai inisiatif berkaitan dengan bukti kejayaan yang jelas melibatkan projek perintis AgTech. 4IR merupakan teknologi untuk berkhidmat dan menyumbang kepada manfaat rakyat dan negara kita, sejajar dengan visi Malaysia 5.0 iaitu sebuah negara yang sangat terintegrasi dengan teknologi, memberikan peluang digital yang adil kepada rakyat dan perniagaan, serta selaras dengan Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB) 2030,” kata Datuk Wira Dr Hj. Rais Hussin Mohamed Ariff, Pengerusi, MDEC.
“MDEC menyokong penuh dasar ini dan akan terus mempromosi, meningkatkan proses pengembangan dan penggunaan teknologi 4IR di seluruh industri tempatan. Semua bahagian dalam MDEC bergerak selaras dengan polisi ini dan agensi ini berharap agar dapat bekerjasama dengan pelbagai pihak berkepentingan untuk mendorong dan memacu negara ke hadapan dan seterusnya memanfaatkan ekonomi digital selaras matlamat Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia (MyDIGITAL) dan menjadikan Malaysia sebagai Nadi Digital ASEAN,” kata Surina Shukri, Ketua Pegawai Eksekutif MDEC.
MDEC akan terus mendorong dan menyokong penggunaan digital dengan menonjolkan teknologi 4IR dalam bidang kemahiran, kesalinghubungan, tadbir urus dan inovasi. Salah satu inisiatif utama yang dilancarkan oleh MDEC pada tahun lalu ialah DataKITA, iaitu inisiatif untuk meningkatkan kesediaan, keupayaan akses dan kegunaan data dalam masyarakat dan ekonomi Malaysia. Ini akan dicapai melalui empat tonggak utama iaitu pengetahuan, infrastruktur, bakat dan tindakan. DataKITA akan membantu perniagaan untuk memulakan perjalanan transformasi data masing – masing melalui pendekatan berstruktur dengan memanfaatkan literasi data, analisis data, pentadbiran, perkongsian data dan kecerdasan buatan (AI).
Mengenai penggunaan internet kebendaan (IoT), AI dan data raya (BDA) pula, MDEC telah menjalankan projek perintis yang berjaya di seluruh negara dalam bidang pertanian melalui inisiatif eLadang AgTech. Ini telah menyaksikan petani menggunakan sistem fertigasi berkemampuan IoT yang telah membantu mereka mengurangkan penggunaan baja bulanan sebanyak 20 peratus, menurunkan keperluan tenaga kerja bulanan sebanyak 25 peratus dan meningkatkan kualiti hasil (cili Gred A) hingga 90 peratus. Inisiatif Digital AgTech oleh MDEC seperti program eLadang telah berjaya memberi manfaat kepada 548 peserta sejak Disember 2019. Daripada jumlah ini, 78 petani telah menggunakan teknologi pertanian digital yang menghasilkan peningkatan produktiviti sebanyak 20 peratus dan tambahan pendapatan 30 peratus serta pengurangan kos operasi sebanyak 30 peratus. Tiga makmal digital juga diwujudkan untuk melatih dan mendorong penggunaan teknologi digital dalam pertanian.
MDEC juga baru-baru ini melancarkan inisiatif MyDigitalWorkForce Work In Tech (MYWiT) iaitu program insentif latihan dan pengambilan pekerja yang bertujuan untuk meningkatkan sektor perkhidmatan perniagaan digital serta mengembangkan bakat teknologi yang berkualiti di Malaysia. Menerusi program ini, inisiatif Digital Tech Apprenticeship (DTA) akan memberi peluang kepada rakyat Malaysia untuk pekerjaan berteknologi yang mempunyai permintaan tinggi dalam bidang seperti data sains, pembangunan perisian, keselamatan siber dan teknologi baharu muncul seperti automasi proses robotik (RPA), AI dan Blockchain.